Keadilan Bagi Ciptaan Allah: Kebebasan

Saudara  dan Saudari yang dikasihi dalam Kristus,

Satu Dekad Keadilan Bagi Ciptaan Allah untuk Keuskupan Sibu dari tahun 2017 hingga 2026: Kebebasan

Segala puji kepada Allah! Kita menyambut tahun 2019 dengan penuh kesyukuran dan berterima kasih untuk semua berkat yang telah diterima dan berdoa agar Allah akan terus memberkati kita semua.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan tema kita pada tahun ini iaitu, Keadilan Bagi Ciptaan Allah: Kebebasan− dengan harapan bahawa Ciptaan itu sendiri akan dibebaskan daripada belenggu kemusnahan dan dibawa ke dalam kebebasan penuh kemuliaan  anak –anak Allah (cf Roma 8:21).

Injil telah memberitakan kepada kita tiga nilai penting iaitu Keadilan, Kasih Sayang dan Kebebasan.  Justeru itu, Diosis Sibu telah melancarkan satu Dekad Keadilan Bagi Ciptaan Allah pada tahun 2017 dengan Keadilan Bagi Ciptaan Allah: Evangelisasi Berpadu Dengan Alam Semesta daripada Ego kepada Eko Kristus  dengan penekanan keadilan bagi selurah Ciptaan Allah umpamanya, udara, air, tumbuh−tumbuhan, binatang, dll.  Pada hakikatnya, segala yang diciptakan oleh Allah berhak untuk hidup kerana Allah telah memberi nyawa kepada mereka.  Kita inginkan keadilan bukan hanya sekadar di rumah atau tempat kerja atau dalam masyarakat tetapi untuk seluruh Ciptaan Allah.

Walaubagaimanapun, tanpa kasih sayang memang kita tidak dapat memberi keadilan.  Oleh sebab itulah, maka tahun lepas tema kita ialah Keadilan Bagi Ciptaan Allah: Marilah Bermula Daripada Keluarga dengan Bersukacita Dalam Kasih di mana kita semua telah disarankan untuk bermula daripada keluarga kita sendiri. Setelah itu, barulah kita dapat menghulurkan bantuan kepada keluarga yang lebih besar di dalam gereja, masyarakat dan seluruh Ciptaan. Apabila kita mempunyai kasih sayang atau kasih sayang persaudaraan barulah kita mampu memberi keadilan yang sewajarnya kepada mereka.

Selain daripada keadilan dan kasih sayang, kita juga harus mempunyai kebebasan, iaitu, kebebasan sebagai anak Allah.  Bahawasanya, kebenaran akan membebaskan kita.  Ada di antara kita yang mengalami krisis identiti di mana kita ingin menjadi orang lain atau menjadi seperti idola kita. Kita telah lupa bahawa kita adalah ciptaan Allah yang unik dan tiada seorang lain pun yang sama seperti kita di seluruh dunia ini. Tambahan pula, kebebasan bukan bermakna kita boleh melakukan apa yang kita mahu tetapi bahawa kita tidak dibelenggu oleh perkara duniawi dan bebas untuk membuat pilihan sama ada untuk berkata “Ya” atau “Tidak”.  Kita terdahulunya mesti “dibebaskan daripada” jikalau tidak, kita tidak akan dapat “dibebaskan untuk”…..Jikalau kita tidak dibebaskan daripada sikap mementingkan diri,  kegelapan, kejahatan atau dosa maka kita tidak akan dapat dibebaskan untuk memberi kasih sayang dan mengerjakan kehendak Allah. Kita akan dikuasai oleh imej−diri atau mengaut keuntungan ekonomi, pembangunan atau mementingkan kebendaan.

Oleh itu, agar kita dapat tinggal dalam semangat sedemikian dan hadiah kebebasan tersebut,  maka tahun ini kita akan berpandukan Ekshortasi Apostolik terbaru Bapa Suci Paus Fransiskus, iaitu “ Bersukacita Dan Bergembiralah: Seruan Menuju Kekudusan” dimana beliau menggalakkan kita semua untuk mencapai kekudusan melalui amalan 8 Ucapan Berkat atau Ucapan Bahagia (Beatitudes). Kita mengingati ajaran Tuhan “Diberkatilah mereka yang miskin kerohanian……..kerana orang seperti itulah empunya kerajaan syurga” (cf Matius 5:3, 19:14). Siapakah mereka? Orang yang miskin, yang dipinggirkan, yang tiada tempat tinggal, yang menganggur, yang kesepian, yang tua dan lemah, kanak−kanak yang diabaikan atau didera, janda dan anak yatim piatu, terutamanya, semua yang dahagakan kasih sayang  dan belas kasihan. Lebih-lebih lagi, pada hari ini di mana Bumi kita mengalami kemusnahan akibat sikap acuh tak acuh dan ketamakan manusia.

Maka ini adalah “Panggilan Kesedaran” (Wake−Up Call) untuk kita semua.  Semua kita dipanggil untuk menjadi seperti Allah dan menurut rupa dan gambaran−Nya kerana kita telah dipilih khas oleh Allah. Seandainya kita tidak mempunyai kebebasan, maka kita tidak dapat dipilih khas untuk Allah.  Semestinya, kita harus berusaha untuk mencapai kekudusan. Marilah kita bersama−sama dalam perjalanan kita untuk mencapai Kebebasan Dalam Kekudusan: iaitu berjalan dengan rendah hati bersama Tuhan dengan bertindak adil dan memberi kasih sayang yang lemah lembut kepada mereka yang berada di sekeliling kita dan seluruh Ciptaan Allah (cf. Mikha 6:8).

Sekali lagi, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas khidmat anda yang tak ternilai dan kesungguhan anda untuk membuat perjalanan ini bersama saya sebagai Gembala anda semua. Saya dengan ikhlasnya percaya bahawa sebagai Satu Keluarga dalam Allah kita dapat bekerja sama untuk menjayakan Diosis kita menjadi lebih bersatu padu dan bersemangat, supaya kita dapat bersama−sama berada di dalam suasana yang pada permulaannya memang dikhaskan untuk kita sebagai anak−anak kesayangan Allah.

Hambamu,

Uskup Joseph  Hii Teck Kwong

Keuskupan Sibu

‘Ecclesia Christi Sponsa’

Creation Justice: Freedom-Read in 4 Languages